Usaha didik masyarakat agar tidak ketinggalan kuasai AI Generatif

Pixlr, Institut Pengajian Runcit S’pura gabung kepakaran di acara ‘Raikan Ilmu@Heartlands 2025’

Adalah penting bagi masyarakat, terutama pelajar, mempunyai kesedaran mengenai Kecerdasan Buatan (AI) Generatif agar mereka peka tentang cara untuk merebut peluang dalam bidang itu dan tidak ketinggalan.

Oleh kerana teknologi AI Generatif sedang berkembang pesat menjadi pengimbang yang besar, ia mampu mengurangkan jurang sumber dan kreativiti antara syarikat besar dengan kecil.

Demikian dikongsi oleh Pengarah Negara bagi Pixlr, Encik Alex Chua, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Pixlr adalah syarikat penyedia khidmat pelbagai peralatan suntingan foto dalam talian yang memanfaatkan AI Generatif.

Mengulas tentang peranan AI Generatif pada masa hadapan, Encik Chua berkata teknologi itu akan berkembang pesat dan diguna pakai secara meluas.

“Jurang sumber dan kreativiti antara syarikat besar dengan kecil akan semakin mengecil, dan AI Generatif bakal menjadi pengimbang yang besar.

“Banyak jenama baru akan ditubuhkan, dan perniagaan tradisional akan berubah dan menyesuaikan diri untuk bersaing dalam ekonomi yang bergerak laju,” ujar Encik Chua.

Walau demikian, Encik Chua menganggap masih ramai pekerja di Singapura – sebanyak 90 peratus – mempunyai tahap daya penghasilan profesional yang rendah dalam penggunaan AI Generatif.

Menurutnya, ramai yang telah mencubanya tetapi hasil kerja mereka belum sesuai untuk kegunaan komersial.

“Terdapat kekurangan dari segi penggunaan sebenar, budaya penggunaan AI Generatif, pemilihan alat yang sesuai, pelaksanaan dalam syarikat, serta pemahaman tentang bagaimana teknologi ini boleh membawa hasil yang praktikal dan relevan,” katanya.

Encik Chua menambah, penting bagi masyarakat mempelajari bagaimana AI memberi kesan kepada ekonomi dan peluang pekerjaan baru supaya mereka dapat bersedia lebih awal untuk menyertai tenaga kerja generasi akan datang serta merebut peluang kerja baru dalam beberapa tahun akan datang.

Maka Pixlr akan bekerjasama dengan Institut Pengajian Runcit Singapura (SIRS) untuk mengendalikan reruai pada acara ‘Raikan Ilmu@Heartlands 2025’, anjuran Yayasan Mendaki.

SIRS adalah sebuah institusi pendidikan dan latihan berterusan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan keupayaan dalam sektor runcit dan perkhidmatan.

Kedua-dua Pixlr dan SIRS merupakan antara 60 rakan Yayasan Mendaki yang akan mengendalikan reruai dalam acara itu.

Lebih 100 kegiatan akan disediakan pada acara tersebut, yang akan diadakan di tiga lokasi – Our Tampines Hub, Safra Choa Chu Kang dan Northpoint City.

Namun, kedua-dua pertubuhan itu hanya akan mengendalikan reruai di Our Tampines Hub pada 12 dan 13 Julai.

SIRS menggabungkan alat AI Pixlr dalam kursusnya untuk menyediakan latihan praktikal dalam AI Generatif bagi memberi pelajar pengalaman sebenar.

Disokong oleh pengetahuan produk dan bantuan teknikal daripada Pixlr, kerjasama itu menggabungkan kepakaran pendidikan dan teknologi bagi memudahkan akses kepada AI serta membantu masyarakat kekal relevan dalam landskap digital yang pesat berkembang.

Di reruai tersebut, mereka akan menawarkan pelbagai kegiatan dan bengkel untuk pengunjung termasuk alat asas AI Generatif yang berkaitan dengan janaan AI dari teks ke teks, teks ke gambar, dan teks ke video.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Encik Chua berkata:

“Isu perkakasan atau ‘hardware’ dan perisian adalah dua aspek yang perlu kita tangani.

“Satu lagi isu ialah akses kepada perisian AI Generatif yang mampu milik, memandangkan kebanyakan program latihan tidak membenarkan kesinambungan pembelajaran kerana pelajar tidak mempunyai akses kepada perisian itu selepas kembali ke pejabat.

“Kami berharap dapat menyelesaikan masalah ini bersama SIRS dengan menyediakan penyelesaian pembelajaran dan perisian yang menyeluruh untuk pelajar,” tambahnya.

Beliau turut akur SIRS mempunyai capaian yang luas ke kawasan perumahan di Singapura melalui rangkaian peruncit dan ini penting dalam mencapai matlamat mereka.

Berkongsi kepada BH, SIRS berkata kerjasama mereka dengan Pixlr dan Mendaki merupakan langkah penting ke arah mewujudkan peluang pembelajaran yang lebih terangkum dan menyokong kemajuan kerjaya dalam ekonomi digital.

“Pengalaman kami dalam pembangunan kemahiran secara langsung dan kehadiran kukuh di kawasan perumahan Singapura, digabungkan dengan pemahaman mendalam Mendaki terhadap keperluan masyarakat, mewujudkan satu perkongsian ideal untuk membawa latihan digital bermutu kepada lebih ramai pelajar.

“Sinergi ini membolehkan kami menyokong perjalanan transformasi digital masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya.

Artikel kredit kepada:Berita Harian SG

https://www.beritaharian.sg/singapura/masyarakat/usaha-didik-masyarakat-agar-tidak-ketinggalan-kuasai-ai-generatif

For all media enquiries, please contact pr@pixlr.com